Bukan saja karektor Najib sebagai seorang pelajar yang baik, cerdik dan pintar sejak sedari kecil dilukiskan; kegemaran, pakaian, cara pidato dan telatah Najib di meja makan juga turut sama dilukiskan.Pendeknya semua tidak terlepas dari cakupan media massa, masing-masing berlumba untuk menukilkan (glorify) sesuatu yang indah dan menyeronokkan.
Penulis yang mencari makan di hujung pena pula akan mencatat sesuatu yang merujakan rakyat tentang Najib. Mengelak rakyat agar menyokong Najib sepenuhnya sebagai perdana menteri. Manakala ahli politik yang mencari kerusi akan melihat Najib umpama sebutir intan yang bersinar dari semua dimensi dipandangnya.
Semua orang yang hampir dengan Najib diinterviu dan ditanya mengenai masa silam Najib. Mengenai sikap Najib dan falsafah politiknya. Mereka yang berkongsi kereta dengan Najib semasa di London juga turut sama diinterviu dan cerita itu dipaparkan dengan penuh nostalgik bagi menggambarkan kerendahan dan ketawadukan diri Najib.
Ibu Najib, Tun Puan Rahah Mohd Noah juga sudah semestinya ditanya mengenai anaknya yang bertuah itu. Maka berceritalah Rahah mengenai masa kecil perdana menteri itu. Bahawa Najib bukan dilahirkan untuk menjadi perdana menteri, namun Rahah terpaksa akur dengan kehendak dan ketentuan Allah s.a.w. Dan jawatan yang dijabat oleh anak sulung itu sangat disyukurinya.
Begitu juga dengan isteri kedua Najib, Rosmah Mansor pun dipotretkan begitu anggun sekali. Sebagai seorang isteri yang bekerja kuat dan pemberi semangat kepada Najib. Seorang isteri yang berpeluh berpela bersama Najib dalam mengapai kerusi penuh berkuasa itu. Bahkan ada yang gatal mulut berkata jika bukan kerana kesungguhan Rosmah, Najib tidak mungkin menjadi perdana menteri!
Ertinya orang yang bekerja kuat untuk meletakkan Najib di kerusi nombor wahid negara ialah Rosmah Mansor?Maka wajarlah kalau Najib menyanyangi Rosmah lebih dari segala-galanya.
Dan saya sebagai penulis yang mengikut perjalanan politik Najib sejak menerusi pembacaan merasa semacam tidak lengkap apabila media dan orang bercakap mengenai Najib. Persis ada kekosongan telah berlaku dalam autobiografi kehidupan Najib itu, apabila perkara ini dialpakan.
Apa yang saya maksudkan itu ialah seorang insan bernama Puteri Zainah binti Iskandar, perempuan pertama yang bersama Najib membina kehidupan. Siapakah Puteri Zainah ini? Dia adalah wanita pertama yang berada di sisi Najib. Wanita pertama yang berada di kiri Najib atas pelamin yang kilau gemilau. Wanita pertama yang menjadi teman tidur Najib yang sah. Wanita pertama yang meyendukkan nasi ke pinggan Najib. Wanita pertama yang mengambil baju dan seluar Najib untuk ke pejabat.
Ke manakah wanita ini sekarang? Apakah ia boleh dilupakan bahawa beliau pernah wujud bersama perdana menteri baru itu? Apakah ianya boleh dilupakan begitu saja? Bolehkan setiap detik sejarah berlalu dihapuskan oleh perasaan kebencian?
Tidak.... wanita ini tidak boleh disunyikan seolah ia tidak pernah hidup bersama Najib. Betapa sejuta kali tidak suka sejarah ini tetap terpahat dalam benak rakyat. Betapa pun ada kuasa yang cuba menafikannya, namun sejarah dan biologi tidak boleh menafikan bahawa darah wanita ini ada dalam tubuh tiga orang anak perdana menteri itu; Mohd Nizar, 32, Puteri Norlisa, 28 dan Mohd Nasifuddin? Bolehkah dunia mengenepikan begitu saja?
Puteri Zainah masih hidup dan masih sihat. Cebisan kenangan indah dan buruk beliau dengan Najib masih terpampar di kepalanya. Dia juga berhak sebenarnya bercakap mengenai Najib. Dia masih waras untuk bercerita segala-gala dari malam pertama sehinggalah kemalam terakhir kehidupan rumah tangganya dengan Najib.
Sebelum si janda Rosmah Mansor menjelma dalam lataran hidup Najib, Puteri Zainah atau lebih dikenali dengan Ku Yie inilah yang mengikut Najib ke majlis-majlis kerajaan. Yang menemani Najib menziarahi rakyat di Pekan dan seluruh Pahang semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dulu. Ku Yielah yang menjadi pujaan dan kesayangan Tun Puan Rahah. Ku Yielah yang lebih dikenali dan dimesrai rakyat Pahang berbanding dengan Rosmah.
Kenapa media melupai Ku Yie ini? Rasanya elok kalau media ikut sama bertandang ke rumah ke Yei Jalan Maktab, off Jalan Gurney, Kuala Lumpur untuk bertanya dan bercerita masa-masa indah bersama bekas suaminya itu yang kini menjadi perdana menteri.
Tinjaulah juga pendapat dan pandangannya. Selaminya juga perasaan hati kecilnya bagaimana setelah lelaki yang pernah hidup bersamanya dulu kini sudah bergelar sebagai perdana menteri. Coretlah juga perasaan gembira Ku Yie atas apa yang berlaku itu. Tidak salah rasanya, bahkan tinjauan itu melengkap dan menyempurnakan lagi autobiografi Najib.
Ku Yie tentu menyimpan sejuta cerita mengenai Najib termasuk cerita-cerita misteri yang terlarang untuk dibukukan. Elok juga kalau dicungkilkan bagaimana rumah tangga mereka yang dibina selama lebih 10 itu tiba-tiba runtuh dan hancur. Sedikit sebanyak dari kisah rumah tangga itu dapat sama-sama kita melihat kelemahan Najib dan juga kemampuannya dalam membina negara dan nusa.
Saya menunggu dengan penuh minat cerita atau komen daripada Ku Yie. Saya mahu tenguk apa yang media tulis dan korek darinya. Sejarah itu penting untuk dibaca oleh 27 juta rakyat Malaysia mengenali siapakah sebenarnya perdana menteri mereka dan siapakah juga wanita nombor wahid Malaysia kini.
Ku cilok daripada blog DEMOKRASI MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan