Teng dilaporkan berkata Chin Peng yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.Mengapa tiba-tiba isu Chin Peng kembali dihangatkan oleh Parti Gerakan - salah satu parti komponen kerabat BN? Saya tidak nampak ada tujuan lain selain dari mewujudkan pertelingkahan pendapat dan menyemarakkan kembali isu perkauman di negara ini.
Ini kerana Gerakan pasti tahu PKM sangat dibenci oleh orang Melayu. Mereka benci PKM bukan kerana ia memperjuangkan komunisme tetapi kerana ramai orang Melayu terutama tentera dan polis yang meninggal dunia dibunuh oleh gerombolan komunis yang kebanyakannya dari kaum Cina.
Bagi orang Melayu yang kurang memahami sejarah mereka menganggap komunis itu adalah Cina, walaupun dalam PKM sendiri ada Regimen Ke-10 yang kesemuanya Melayu dan Pengerusi PKM sendiri, Musa Ahmad, adalah juga orang Melayu.Bukan lagi satu rahsia setiap kali BN melihat dirinya lemah, ubat yang paling mujarab bagi mengukuhkan kembali sisa-sisa kekuatannya ialah dengan menjual ramuan perpecahan kaum.
Bila Perikatan tewas teruk pada tahun 1969, ramuan perkauman inilah yang dijual oleh Umno, MCA dan Gerakan hingga tercetusnya tragedi 13 Mei. Tragedi 13 Mei tidak berjangkit ke Kelantan kerana ketika itu PAS sangat kuat di sana. Akhirnya selepas mengorbankan ratusan rakyat dalam tragedi 13 Mei, Perikatan kuat kembali dan BN ditubuhkan 5 tahun kemudian.
Itulah kejayaan ulung dalam mempermainkan isu perkauman dalam sejarah Perikatan/BN.Pada 1987 apabila Umno berpecah kepada Team A dan Team B, sekali lagi isu perkauman dimainkan dengan DS Najib (ketika itu Ketua Pemuda Umno) dan Datuk Lee Kim Sai dari MCA menjadi watak utama yang memanaskan Kuala Lumpur dengan beberapa perhimpunan berbaur perkauman Melayu dan Cina. Hampir-hampir satu lagi 13 Mei berlaku ketika itu!Ketika BN hilang banyak kerusi dalam PRU tahun 1990, isu perkauman juga sekali lagi digembar gemburkan.
Tapi rakyat yang semakin dewasa tidak mudah percaya lagi dengan usaha BN untuk memecah belahkan rakyat ke arah mengukuhkan kembali sokongan terhadap parti itu. Kini selepas menerima kejutan dalam tsunami politik 2008, BN telah berusaha pelbagai cara untuk kembali kuat. Sayangnya mereka masih menggunakan teknik lama bagi mendapatkan sokongan - dengan memecah belahkan rakyat.
MCA dan Gerakan berpura-pura menjadi hero kaum bukan Melayu dan Umno pula pura-pura jadi penyelamat Melayu. Pelbagai perhimpunan perkauman selepas PRU ke-12, termasuk isu ketuanan Melayu oleh Datuk Ahmad Ismail Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera dan ucapan-ucapan perkauman dari pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan serta rentetan peristiwa-peristiwa sebelum dan selepasnya menceritakan betapa BN tidak pernah puas untuk memecah belahkan perpaduan rakyat.
BN cuba menjadi seperti dukun Melayu yang bersahabat dengan jin dan dalam masa yang sama menggunakan jin tersebut untuk menyembuhkan pesakitnya. Di satu pihak dia menjadi jahat dan sangat jahat dengan menimpakan kesengsaraan kepada peesakit dan di satu pihak lagi dia menjadi sangat baik untuk menyelamatkan pesakitnya.
Lalu hantu raya yang bernama MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lain sering dilepaskan berkeliaran bagi menyakiti hati orang Melayu serta menanam kebencian kepada orang bukan-Melayu dan selepas itu Umno pun akan bangun sebagai hero untuk kononnya 'menyelamatkan' Melayu.Tapi sudahlah BN, sudahlah Umno, sudahlah Gerakan, sudahlah parti-parti komponen perkauman lain.
Kaedah permainan politik anda itu mungkin cuma boleh laku pada pada zaman generasi lama memegang tampuk kuasa. politik dulu. Generasi baru kini semakin menerima kenyataan isu perkauman lapuk tidak dapat diterima lagi. Oleh itu usahlah bercakap lagi tentang meminta Chin Peng kembali.
Jika Gerakan masih hendak membela Chin Peng, pergilah diam-diam menemui Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri. Kalau Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri kata Chin Peng boleh balik, baliklah dia ke negara ini, sebab orang Umno tidak akan berani menyanggah perintah Perdana Menteri.Mengapa Gerakan perlu bising-bising cari publisiti, cari sebab untuk membina permusuhan Melayu-Cina? Jangan main wayang lagilah, BN. Cukuplah, rakyat dah muak dengan wayang versi lama itu!!-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan